Jumaat, 12 Mac 2010

Fikrah mahasiswa dalam mendepani isu



Bersyukur kehadrat Allah kerana kita masih lagi ditemukan dalam suatu ruangan maya. Sudah lama rasanya ana tidak menulis, mungkin kerana komitmen persatuan serta memenuhi peranan dalam setiap program yang sentiasa rancak dijalankan.


Saban hari, kita mendengar pelbagai isu yang membicarakan mengenai mahasiswa. Dalam article kali ini ana ingin berkongsi bersama sahabat-sahabat mengenai beberapa panduan dan kaedah dalam mendepani isu-isu yang dibangkitkan. Antaranya adalah...


Berfikir secara terbuka


Pemikiran yang baik perlu dibina dikalangan mahasiswa, Lebih-lebih lagi apabila menyentuh isu-isu yang berkaitan kehidupan. Sebagai mahasiswa kita perlu berlapang dada serta mengkaji dengan teliti setiap lontaran idea dan pandangan samada ianya membina diri mahupun sebaliknya. Sikap sesetengah mahasiswa yang mudah melatah apabila disergah serta panik dalam sesuatu isu menunjukkan kelemahan potensi diri dalam menghadapi masalah. Bukan lagi masanya mahasiswa ini dikongkong dengan perkara-perkara yang sedap didengar mahupun dipuji tanpa henti, hakikatnya perlu kepada sesuatu momentum berbentuk teguran dan nasihat yang menyentuh isu kehidupan mahasiswa. Sekiranya perubahan ini dilaksana maka corak kehidupan yang baik serta pemikiran yang matang akan terbentuk dikalangan mahasiswa. Ia juga membawa maksud bahawa golongan pressure group ini sudah tidak lagi jumud dan terikat dengan sebarang pandangan yang konservatif semata-mata dan mempunyai kesediaan yang tinggi untuk berubah ke arah yang lebih baik.


Tidak bersifat ego


Kita perlu mengkaji secara lumat isu yang ingin dibahaskan, adakah ianya berbentuk fakta mahupun fatwa ataupun sekadar pendapat peribadi. Sekiranya ia berkaitan pandangan peribadi mahupun pandangan sesebuah organisasi maka ia dikira bebas berfikir selagi tidak melanggar batasan syara’. Malangnya keegoan yang tinggi ditambah darah panas golongan muda menyebabkan mahasiswa hilang pertimbangan dalam bertindak. Lebih-lebih lagi apabila menerima pandangan berbentuk teguran mahupun nasihat, mahasiswa kini mudah tersentak lantas membalas serangan tanpa berfikir panjang. Diantara dua pendapat yang dikeluarkan oleh dua pihak, kemungkinan kedua-duanya betul dan tidak salah. Masalah akan timbul apabila ada satu pihak merasa paling betul dan terus menyalahkan pihak lain atas dasar emosi, tanpa landasan yang kukuh. Didalam hadis yang diriwayatkan dalam sahih muslim jelas menyatakan “Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sebesar zarah sekali pun sifat ego (takabbur)” Sikap begitu taksub kepada sesuatu pandangan dan merasa paling berjaya dalam mempertahankan pendapat akan membuka ruang kepada perpecahan lantas akan ada pihak yang bertepuk tangan.



Hormat menghormati


Sifat hormat menghormati dan bertolak ansur dalam menerima pandangan perlu dipupuk dalam jiwa mahasiswa. Keterbukaan minda perlu dibina apabila sesuatu isu yang dibahaskan itu tidak menepati kehendaknya mahupun bercanggah dari sudut kefahamannya. Syeikh Asyraf Hamdy al-Hasani merupakan imam 2 dimasjid al-Azhar apabila ditanya mengenai perbezaan pendapat dikalangan ulama’ dalam sesetengah masalah, maka dijawab oleh beliau bahawa pebezaan pendapat ini telah lama berlaku sejak zaman sahabat lagi. Mereka sentiasa meraikan kesemua pendapat malah membahasnya dengan baik. Akan tetapi beliau menyatakan bahawa sesetengah perbezaan pendapat yang berlaku kini tidak lagi dihormati malah dibahas tanpa adanya adab dan akhlak. Jelas disini kata-kata tersebut kepada kita bahawa sesetengah perselisihan pendapat yang berlaku kini lebih cenderung kepada tuduh menuduh,serta fitnah menfitnah. Seolah-olah kita sudah tiada kewarasan dalam menilai dan berfikir. Lebih parah lagi ada dikalangan mahasiswa bertindak sehingga peringkat desak mendesak dan ugut mengugut.


Kembali kepada fitrah


Berbeza pendapat adalah sesuatu yang lazim terjadi. Namun tidak ramai di kalangan umat Islam yang mampu berinteraksi dengannya secara cemerlang. Allah SWT berfirman di surah 11 ayat 118-119 (maksudnya):


“Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.”


“Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka tidak berselisihan) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menciptakan manusia.”

Daripada 2 ayat di atas dapat difahami bahawa, Allah SWT berkuasa untuk menjadikan manusia semuanya bersepakat di atas satu agama dan satu pendapat. Akan tetapi Allah sengaja tidak berbuat sedemikian. Maka kerana itulah manusia sentiasa berbeza pendapat. Dalam ertikata yang lain, menjadi fitrah manusia untuk saling berbeza pendapat antara satu sama lain. Usaha sebahagian orang yang cuba menyatukan umat Islam di atas satu pendapat adalah sia-sia kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia dan kehendak Allah. Sebaliknya, usaha sebahagian lain yang cuba mengajak umat Islam ke arah bersatu di atas kepelbagaian pendapat, mereka itulah yang berada di atas jalan yang benar dan akan mendapat rahmat Allah SWT.


Tidak mengejar nama


Akan tetapi terdapat sesetengah mahasiswa lebih mengejar nama dan populariti dalam mendepani sesuatu isu. Perkara ini perlu dihakis dikalangan mahasiswa, kerana apa yang lebih penting bagi kita adalah penerimaan secara positif keatas setiap isu yang ditimbulkan. Sekiranya isu yang dibangkitkan berbentuk teguran buat kita maka terima dengan hati yang terbuka, dan sekiranya isu tersebut bercanggah dengan penilaian diri kita kemungkinan ia berlaku kepada orang lain. Maka disini kita telah berjaya mencapai tahap kematangan berfikir dan tidak jumud dalam mendepani realiti semasa. Ingat lah bahawa segala yang kita perkatakan ini akan dinilai dan diadili oleh Allah S.W.T. kerana dia lah yang maha mengetahui setiap sesuatu. Maka perlunya amanah dalam setiap urusan dan jangan sesekali menyembunyikan kebenaran.


Penutup


Satu perkara perlu di ingat, ulama’ ada mengatakan “jangan melihat siapa yang bercakap tetapi hayati terlebih dahulu apa yang ingin disampaikan”. Sekiranya dilihat kepada siapa yang bercakap maka akan ada sahaja cacat dan celanya kerana manusia itu tidak sempurna melainkan manusia yang disempurnakan oleh Allah akan kejadiannya. Maka dengarlah apa yang ingin disampaikan kerana mungkin disitu ada pengajaran yang berguna. Kutiplah mutiara yang baik dan tinggalkan duri kecurigaan. Marilah bersatu pada titik pertemuan dan berlapang dadalah pada perbezaan pendapat. Bukan mudah untuk berlapang dada, tetapi adalah sesuatu yang nikmat apabila kita mampu melakukannya.


Salam juang dari Hamra’ Kayangan….

2 ulasan:

  1. artikel yang menarik...syukran kerana berkongsi..

    BalasPadam
  2. ad..nak bagitau..ustaz miskon ( kadis ) dah meninggal awal tahun hari tu...sakit kencing manis...dah tau lom?

    BalasPadam