Ahad, 30 Mei 2010

Isu kerajaan meluluskn lesen judi dan konsert Pitbull.

Berikutan pelbagai isu yang berlaku di Malaysia kini, mahasiswa perlu membuka minda seluas-luasnya. Lebih-lebih lagi sebagai mahasiswa islam yang memahami agama perlu mempunyai satu pendirian yang tegas berkenaan isu yang sedang berlaku. Antara isu yang sedang berlegar di ruangan maya serta di kaca-kaca televisyen Malaysia pada hari ini adalah berkenaan isu kerajaan yang meluluskan lesen judi dan konsert Pitbull. Penulis serba sedikit cuba mengulas disamping menyatakan pendirian berhubung isu tersebut.


Lesen judi


Menyorot kembali isu yang berlaku di Malaysia mengenai kelululusan lesen judi kepada beberapa buah syarikat perjudian. Seperti sedia maklum, Menteri Kewangan telah meluluskan lesen judi bola sepak piala dunia kepada Kumpulan Berjaya. Mereka memberi alasan untuk mengawal judi secara gelap lantas membanteras gejala rasuah serta jenayah tipu dikalangan pengamal judi. Alasan sebegini dilihat sebagai tidak wajar kerana judi itu sendiri sudah jelas haram disisi islam. Dengan berjudi akan memberi keburukan serta impak yang besar kepada si pemain seperti menimbulkan permusuhan dan pergaduhan antara pemain-pemain itu sendiri. Kelulusan lesen judi ini menunjukkan suatu yang melampau serta dilihat cuba menghina agama islam. Malah, kelulusan tersebut seolah-olah sebagai satu galakan kepada rakyat untuk terus mengamalkan judi. Hakikatnya, pengharaman judi jelas dinyatakan didalam Al-quran yang bermaksud:


“Mereka bertanya kepadamu tentang Arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ” yang lebih dari keperluan.” Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.”


(Surah Al Baqarah [2] : 219)


Secara umumnya, islam begitu teliti dalam menetapkan tatacara yang berkaitan dengan perjudian, banyak dalil melalui Al-quran dan Hadis menceritakan mengenai pengharaman judi. Setiap hukum yang dikeluarkan oleh islam begitu jelas beserta pengkajian yang teliti dikalangan alim ulama. Oleh yang demikian, pengharaman judi yang termaktub di dalam al-quran merupakan hukum yang qotie kerana penyebutannya begitu jelas. Maka, tiada perselisihan pendapat dikalangan ulama bagi menetapkan pengharaman hukum berjudi.



Isu kelulusan lesen judi ini perlu kita bicarakan secara serius, dan perlu ditangani dengan segera kerana ia akan memberi kesan yang cukup panjang. Sekiranya dilihat kepada isu arak misalnya, ia dianggap dasar yang berjaya dibawa oleh kerajaan apabila memperkenalkan lesen arak kepada peniaga suatu ketika dahulu. Isu ini dilihat lesu kerana tiada tekanan dan bantahan yang berterusan dari semua pihak. Begitu jua isu kelulusan lesen judi ini, ia dikira tidak kurang penting untuk kita jelaskan bersama. Sekiranya kita tidak bersama-sama menzahirkan bantahan, maka isu ini akan berterusan dan kebatilan akan terus beraksi dengan megahnya. Sebagai mahasiswa islam yang memahami hukum hakam didalam islam seharusnya mempunyai pendirian yang tegas serta membantah sepenuhnya kelulusan lesen judi.


Konsert Pitbull


Seterusnya kita beralih pula isu yang berkaitan kelulusan konsert pitbull yang telah dijalankan pada 15 mei lepas. Perkara ini cukup jelas didalam islam mengenai hiburan yang berunsur maksiat dan percampuran antara lelaki dan wanita adalah haram. Persoalannya disini, bagaimanakah artis seperti Pitbull berjaya mendapat kelulusan untuk membuat persembahan sedangkan video clip dan lirik lagu beliau ternyata berbaur lucah dan membawa pengaruh seks rambang serta budaya penagihan dadah.



Islam cukup menitik beratkan soal akhlak dan moral umatnya, kerana begitu jelas konsert tersebut bakal meruntuhkan nilai syahsiyyah dikalangan pemuda pemudi islam. Hiburan yang melampau akan mengakibatkan pelbagai gejala sosial seperti perzinaan, minum arak dan sebagainya. Disini cukup jelas kepada kita bahawa kurangnya pengamalan islam di Malaysia cukup membimbangkan. Suara-suara mahasiswa islam, serta alim ulama semakin kurang mendapat tempat di hati pemimpin kita. Islam di malaysia seolah-olah boneka yang boleh digunakan mengikut kesesuaian rasa oleh penganutnya. Mereka yang menzahirkan bantahan melalui memorandum terhadap isu ini serta melalui perarakan jalan raya mula dihalang dan dihukum dengan zalim. Sedangkan kemaksiatan mula dibiarakan dan bercambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan.


Ini lah bukti kepada tanda akhir zaman bahawa pengamalan islam mula dipandang asing serta berleluasanya kemaksiatan Sebagai mahasiswa islam sepatunya kita perlu sedar dari lamunan dan perlu bersama-sama bangkit untuk memperjuangkan islam. Kerana kita adalah orang pertama yang akan dipertanggungjwabkan di perhitungan Allah kelak mengenai amanah ilmu yang di pelajari, adakah ianya menjadi pelindung dan pertahanan kepada islam atau sekadar ilmu yang tersemat melalui sijil-sijil.

Jumaat, 7 Mei 2010

Negara Pertama Haramkan Purdah

AKTIVIS hak asasi manusia, Sara Bokker sebelum ini mempunyai pandangan negatif terhadap agama Islam. Wanita yang berasal dari Selatan Dakota, Amerika Syarikat (AS) itu beranggapan Islam sebuah agama yang menafikan hak wanita, membenarkan poligami dan cenderung kepada keganasan.

Bagaimanapun, peristiwa serangan 11 September 2001 di Washington dan New York telah membuka matanya berhubung prejudis dan sikap berat sebelah Barat terhadap Islam. Selepas itu, dia mula mempelajari agama itu dengan lebih mendalam.

Pada usia 29 tahun, Sara akhirnya memeluk Islam dan sejak itu penampilan dirinya berubah seperti seorang Muslimah. Malah, dia turut memakai niqab (purdah) atas alasan berasa lebih tenang dan damai serta mahu melakukan yang terbaik demi agamanya.

Sayangnya penampilan itu mendapat reaksi yang pelbagai. Antara pihak yang terang-terangan mengkritik keras adalah ahli politik, kumpulan gereja dan aktivis kebebasan dan hak asasi manusia.

Mereka mengatakan pakaiannya itu merupakan satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita. Lebih menyedihkan ia dikatakan sebagai petanda kemunduran dan ketinggalan zaman.

Dilema yang dihadapi oleh Sara sebenarnya turut dirasai oleh sebilangan besar wanita Islam yang menetap di negara-negara Barat.


BELGIUM menjadi negara pertama Eropah yang mengharamkan pemakaian burqa di tempat awam.


Di Belgium, majoriti Ahli Parlimen negara itu menyokong rang undang-undang yang melarang pemakaian burqa di tempat awam. Sebaik sahaja dikuatkuasakan kelak, ia bakal menjadi negara Eropah pertama yang menguatkuasakan undang-undang sedemikian.

Perancis

Senario yang sama turut dilihat di Perancis. Selepas melarang penggunaan sebarang simbol keagamaan seperti pemakaian tudung oleh wanita Islam pada 2004, negara itu kini cuba mengharamkan burqa pula.

Kerajaan negara itu sedang menyusun draf perundangan untuk mengharamkan pemakaiannya selepas satu laporan Parlimen mencadangkan pengharaman memakai burqa di sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan di dalam pengangkutan awam.

Presidennya, Nicolas Sarkozy, sebelum ini menyatakan, burqa tidak dialu-alukan dalam pemerintahan sekular Perancis dan beliau menyokong undang-undang yang mengharamkannya.

"Ia bertentangan dengan harga diri wanita, jadi kita perlu mengharamkannya," katanya pada satu perbahasan ahli politik kerajaan dan pembangkang.


KEBANYAKAN wanita yang memakai burqa di Belgium berketurunan Arab.


Ketika ini, dianggarkan kira-kira 1,900 wanita daripada keseluruhan lima juta umat Islam di negara Perancis memakai burqa namun kebanyakannya memakai niqab.

Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berkata, pihak yang menyokong larangan terhadap pakaian itu sebenarnya belum dapat membuktikan bahawa wanita yang memakai burqa merupakan golongan yang lebih tertindas berbanding orang lain.

Beliau berkata, pemakaian tudung juga tidak melemahkan demokrasi atau nilai moral umum.

"Melarang burqa dan niqab dipakai tidak membebaskan wanita tertindas tetapi mungkin menyebabkan mereka semakin terasing daripada kehidupan masyarakat Eropah.

"Larangan umum terhadap pemakaian seperti itu juga akan dianggap pencabulan hak individu yang tidak wajar," katanya yang bimbang tindakan itu akan menimbulkan kontroversi di kalangan kelompok-kelompok Islam terutamanya daripada puak fanatik.

Chandra berkata, sentimen anti-Islam dilihat semakin meningkat berikutan pelbagai kontroversi yang berlaku di Eropah sejak akhir-akhir ini.

Di Warsaw, ibu negara Poland, terdapat demonstrasi membantah pembinaan sebuah masjid di pinggir kota itu manakala di Switzerland, rakyatnya disaran mengundi mengharamkan pembinaan menara masjid.

"Tindakan yang dilakukan menunjukkan kebencian dan penghinaan berterusan kuasa besar terutama Barat ke atas umat Islam.

"Sebelum ini merekalah yang paling lantang menuding jari dan menyelar negara-negara lain kononnya gagal melaksanakan hak asasi manusia, namun kini sikap yang ditunjukkan adalah sebaliknya," kata Chandra.

Beliau menjelaskan, sentimen anti-Islam masih menebal di Barat khususnya selepas Perang Salib yang berlaku antara kurun ke-11 sehingga ke-13.

Katanya, Perang Balkan di Bosnia sekitar tahun 90-an membuktikan usaha untuk menyingkirkan umat Islam di Eropah masih wujud sehingga kini.

"Faktor itu ditambah dengan kebanjiran ramai penganut Islam khususnya dari rantau Arab dan Afrika Utara, Bangladesh serta Pakistan ke Eropah sejak beberapa dekad lalu yang kini dilihat mula menguasai ekonomi mereka.

"Penonjolan identiti Islam di sana dianggap sebagai satu ancaman apatah lagi bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian," jelasnya.

Sewaktu pemerintahan Taliban di Afghanistan pada pertengahan tahun 90-an dahulu, kaum wanita di negara itu diwajibkan memakai burqa setiap kali keluar rumah. Mereka yang ingkar bakal berdepan tindakan tegas.

Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Fatimah Daud menyifatkan apa yang berlaku merupakan satu bentuk diskriminasi moden.




Menurutnya, berdasarkan teori hubungan etnik, diskriminasi oleh segelintir masyarakat kulit putih di Barat telah lama wujud.

Ia bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam malah turut melibatkan kaum lain seperti Afrika dan Asia termasuk bangsa Eropah yang berasal dari negara-negara bekas komunis.

"Dasar Aparteid di Afrika Selatan merupakan satu cara ortodoks yang menunjukkan kebencian secara terang-terangan melalui perbezaan warna kulit sehingga sanggup membunuh.

Keselamatan

"Bagaimanapun, perkembangan zaman menyebabkan kaedah seperti itu tidak lagi sesuai digunakan, lalu golongan itu beralih pula kepada diskriminasi moden yang dilakukan secara halus, misalnya menguatkuasakan peraturan yang ketat dan cukai yang tinggi ke atas orang luar yang ingin menetap di negara itu," katanya.

Fatimah menjelaskan, bangsa Eropah secara amnya tidak suka bercampur antara satu sama lain. Rakyat di Perancis dan Britain misalnya tidak begitu rapat walaupun mereka berjiran dan mempunyai warna kulit yang sama.

Katanya, kehadiran ramai warga asing termasuk dari negara-negara Islam menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk dan pemerintah tempatan kerana mereka dianggap cuba merampas hak keistimewaan dan ekonomi mereka.

Fatimah berkata, teori hubungan etnik juga menyifatkan apa yang berlaku ke atas umat Islam di Eropah kini merupakan satu proses kesamaran etnik.


TIADA bukti yang menunjukkan wanita yang memakai burqa merupakan golongan tertindas seperti yang didakwa media Barat.


Jelasnya, mengikut teori itu, sempadan yang mendasari setiap etnik perlu dihapuskan, warga asing yang tinggal di negara mereka perlu menyerap budaya tempatan dan tidak menonjolkan budaya masing-masing melalui pakaian, cara hidup, keagamaan dan sebagainya.

"Pemakaian burqa dan niqab dan pembinaan menara masjid dilihat menonjolkan imej Islam di Eropah, lebih-lebih lagi jumlah umat Islam semakin meningkat di sana.

"Melalui undang-undang dan sekatan yang dilakukan, ia akan menghakis imej tersebut dan mengurangkan sempadan etnik. Mereka mahu semua rakyat di negara itu mengamalkan cara hidup Barat," katanya.

Perdebatan tentang pengharaman pemakaian burqa itu turut mendapat reaksi daripada Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.

"Jika ia semata-mata atas alasan keselamatan, kebimbangan itu keterlaluan. Adalah tidak adil untuk mengatakan semua wanita memakai pakaian itu menimbulkan ancaman," katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, menyifatkan Perancis mencabul hak Muslim apabila tidak membenarkan penganutnya menunaikan tanggungjawab agama termasuk memakai hijab.

Bagi ahli perundangan Syria, Mohammed Habash yang mengetuai Pusat Kajian Islam negara itu, langkah Perancis dan Belgium hanya akan meningkatkan kebencian terhadap Islam.

"Tidak ramai wanita di Perancis memakai niqab. Pakaian itu tidak memberi ancaman keselamatan atau budaya. Langkah seperti ini tidak membantu merapatkan hubungan negara Islam dan Barat," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Fiqh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Dr. Datuk Mahmood Zuhdi berkata, di dalam al-Quran menyatakan wanita hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka.


WANITA Islam hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka. Burqa dianggap pakaian pilihan.


"Islam tidak melihat pemakaian niqab atau burqa sebagai sesuatu yang wajib kepada seseorang wanita kecuali ia menimbulkan pelbagai fitnah kepada dirinya malah sehingga kini masih wujud pertindihan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum pemakaiannya," katanya.

Ujarnya, dalam konteks masyarakat Islam di Eropah yang dianggap golongan minoriti, pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang berkenaan.

"Adakalanya dalam menegakkan dan mempertahankan Islam itu sendiri, kita perlu lebih bersederhana dan bertoleransi dan tidak melakukan sesuatu tindakan yang boleh keadaan dan keharmonian yang dicapai.

"Bagaimanapun tindakan itu agak keterlaluan seperti mengharamkan penggunaan masjid, melarang umat Islam berjemaah atau menyekat kebebasan beragama, maka ia wajar ditentang," jelasnya.


Diambil dari Akhbar Kosmo