Ahad, 14 Mac 2010

PESANAN SEORANG SAHABAT

Setiap orang sudah tentu mempunyai sahabat, dan sebaik-baik sahabat adalah yang sentiasa saling menegur antara satu sama lain. Ana tertarik untuk berkongsi kepada semua pembaca mengenai satu pesanan yang telah diberikan oleh sahabat ana. Pesana ini dibuat sendiri oleh beliau dan diberikan kepadaku sebelum ku berangkat ke mesir. Beliau merupakan presiden majlis pimpinan pelajar(Ketua Umum dan Asrama) di sekolah lama ku, kebetulan ketika itu ana menjadi timbalan presiden(Ketua pengawas). Banyak kenangan pahit dan manis telah ku lalui bersamanya sepanjang zaman kepimpinan tersebut. Sama-samalah kita hayati pesanan yang telah diberikan kepadaku. Semoga pesanan ini sentiasa menjadi pedoman kepada ku dan kepada seluruh pembaca sekalian.

بسم الله الرحمن الرحيم

وذكر فإن الذكر تنفع المؤمنين

Maksudnya : Dan peringatkanlah, maka sesungguhnya memberi peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang mukmin.

Wahai sahabatku!

Inilah pesanan dan nasihat dari diriku yang fakir disisi Allah s.w.t tentang adab-adab kamu didalam menuntut ilmu dijalan Allah s.w.t.

Wahai sahabatku!

Aku tidak ingin untuk menerangkan kepadamu tentang bagaimana cara untuk menuntut ilmu kerana dirimu lebih mengetahui bagaimana tentang caranya dari diriku yang selalu leka dengan nikmat dan perhiasan dunia, tetapi disini aku cuma ingin mengingatkanmu tentang beberapa perkara yang membahayakan dirimu didalam menuntut ilmu. Ketahuilah wahai sahabatku! Sesungguhnya ketika dirimu dalam menuntut ilmu, maka setiap dari kamu akan menghadapi pelbagai penyakit yang membahayakan sama ada penyakit ini menyerang kamu dalam kamu sedari atau dalam tidak kamu sedari dan hanya mereka yang diberi pertolongan oleh Allah s.w.t yang akan terselamat.

Wahai sahabat yang ku kasihi!

Disini pertamanya aku ingin mengingatkanmu tentang satu benda yang penting didalam kamu menuntut ilmu. Perkara ini merupakan asas yang terpenting dalam menuntut ilmu. Ia merupakan benih dan tunjang kepada pohon yang bakal kamu tanam itu. Jika baik benihnya itu maka baiklah pohon yang akan bercambah itu dan jika rosak benih yang kamu tanam itu maka akan rosaklah pohon yang kamu tanam itu. Jika elok tunjangnya maka kukuhlah pohon yang tumbuh itu dan jika reput tunjang pohon itu maka sebaliknyalah yang akan berlaku. Perkara ini merupakan asas kepada asas-asas yang lain didalam kamu belajar iaitu niat. Sesungguhnya Nabi Muhammad telah bersabda didalam sebuah hadis yang berbunyi :

إنما الأعمال بالنية

Maksudnya : Setiap amalan disertai dengan niat.

Didalam kita melakukan semua pekerjaan sama ada pekerjaan dunia mahu pun pekerjaan akhirat akan melibatkan niat kita pada permulaannya. Ketahuilah dengan niat itu akan memberi kesan kepada setiap pekerjaan yang akan kita lakukan itu sama ada baik atau pun jahat, bersih atau pun kotor, dan ma’ruf atau pun mungkar.
Ketahuilah sahabatku!

Apabila kamu menuntut ilmu maka hendaklah kamu meniatkan dirimu supaya menuntut ilmu itu kerana mencari keredhaan Allah s.w.t dan bukannya kerana untuk mencari dan menikmati kehidupan dunia. Sesungguhnya dengan niat kamu itu akan memberi kesan kepada pekerjaan kamu itu kerana telah ramai orang yang terdahulu mengalami kerugian disebabkan salahnya niat mereka. Allah s.w.t telah berfirman didalam Al Quran yang Mulia :

قل هل ننبئكم بالأخسرين أعملا الذين ضل سعيهم في الحيوة الدنيا وهم يحسبون أنهم يحسنون صنعا

Maksudnya : katakanlah (Hai Muhammad) mahukah kamu aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian didalam usaha mereka. Iaitu orang-orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik.

Dan Rasulullah s.a.w juga telah mengingatkan kita tentang bahayanya jika kita tersalah ketika berniat dengan sabda baginda :

كم من عمل يتصور بأعمال الدنيا ويصير بحسن النية من أعمال الأخرة وكم من عمل يتصور بصورة أعمال الأخرة ثم يصير من أعمال الدنيا بسوء النية

Maksudnya : berapa banyak amalan yang berupa keduniaan menjadi amalan akhirat dengan sebab baik niatnya dan berapa banyak amalan yang berupa akhirat menjadi amalan keduniaan dengan sebab buruk niatnya.

Maka telahku sebutkan kepadamu tentang bahayanya sesuatu amalan jika tersalah niat yang diniatkan. Oleh itu, maka suka ingin kuperingatkan diriku dan dirimu supaya menuntut ilmu dengan meniatkannya untuk mencari keredhaan Allah s.w.t bukannya untuk mencari nikmat dan kepuasan dunia. Wallahu’alam.

Wahai sahabat yang ku cintai!

Pesanan dan nasihatku yang kedua ialah merupakan peringatan kepada diriku dan dirimu yang hina serta lalai dihadapan Allah s.w.t. Nasihat dan pesanan ini merupakan satu peringatan yang penting didalam perjalanan kita menuntut ilmu kerana Allah s.w.t.

Wahai sahabatku!

Disini diriku yang fakir lagi dhaif disisi Allah ingin memperingatkan dirinya dan dirimu supaya taatlah kepada Allah s.w.t. dan janganlah kita menderhakainya kerana kita adalah hambanya. Ketahuilah sahabatku! Aku memperingati dirimu supaya jangan menderhakai Allah bukan kerana dirimu telah menderhakai Allah tetapi aku bimbang kita akan menderhakainya tanpa kita sedari. Sesungguhnya orang yang menuntut ilmu itu merupakan golongan yang taat kepada Allah tetapi mungkin juga kita akan derhaka dalam taat kepada Allah. Maka sebab itulah aku memperingati dengan peringatan sebegini supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang derhaka dalam taat.

Wahai sahabatku yang kukasihi!

Ingatlah kamu ketika melakukan semua amalan kebaikan, hendaklah kamu berhati-hati didalam pekerjaan itu seperti kamu berhati-hati ketika melalui jalan yang penuh dengan duri. Ingatlah! Jangan kamu campurkan amalan kamu itu dengan maksiat walaupun pada permulaan amalan itu berupa kebaikan, tetapi jika kamu campurkannya dengan maksiat maka amalan itu akan menjadi rosak serta tertolak dihadapan Allah sw.t. Sesungguhnya Allah s.w.t telah memperingatkan kita tentang hal tersebut dengan firmannya :

ولا تلبسوا الحق بالباطل وتكتموا الحق وأنتم تعلمون

Maksudnya : Dan jangan kamu campurkan adukkan antara kebenaran dengan kebatilan(maksiat) dan jangan kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahui.

Jadi telah kita ketahui bahawa Allah s.w.t. telah melarang kita mencampurkan kebaikan dengan kebatilan yakni maksiat kerana ia akan memberi kesan kepada diri kita didalam menuntut ilmu. Pernah satu ketika Imam Syafie bertanya kepada gurunya tentang kepayahannya dalam menuntut ilmu, maka gurunya telah menyuruhnya meninggalkan perbuatan maksiat dan telah berkata :

إن العلم نور ونور الله لا يهدى للعاصي

Maksudnya : sesungguhnya ilmu itu cahaya dan cahaya Allah s.w.t. tidak akan menerangi perkara maksiat.

Kemudian ingin aku memperingati dirimu tentang niatmu didalam menuntut ilmu adalah belajar kerana Allah s.w.t.. Maka teruskanlah pekerjaanmu itu dengan sebenar-benarnya dan janganlah kamu lakukan pekerjaan lain yang tidak perlu bagi kehidupan dirimu ketika belajar. Janganlah dirimu melakukan pekerjaan yang bukan urusanmu ketika belajar kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

من حسن الأسلام المرء تركه ما لا يعنيه

Maksudnya : Daripada sebaik-baik seorang muslim meninggalkan pekerjaan yang bukan pekerjaannya.
Maka disini juga telah aku sebutkan apa yang perlu dilakukan oleh dirimu disepanjang perjalananmu menuntut ilmu kerana Allah s.w.t.. Oleh itu janganlah kamu membahayakan dirimu dengan melakukan pekerjaan maksiat yang bukan juga urusanmu ketika belajar dijalan Allah s.w.t., tetapi jika kamu melakukan juga maka bersedialah dengan apa yang kamu telah lakukan itu! Setiap amalan kebaikan yang bercampur dengan maksiat akan menyebabkan amalan itu tiada keberkatan. Wallahu’alam.

Wahai sahabatku!

Pesanan dan nasihatku yang terakhir ini ingin aku peringatkannya kepada diriku dan dirimu serta kepada semua umat Islam yang lain yang juga merupakan hamba kepada Allah s.w.t. Yang Maha Agung. Ia juga merupakan satu perkara yang kita selalu lupa lakukannya didalam setiap pekerjaan kita selaku hamba yang lemah lagi dhaif dihadapanNya Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Wahai sahabatku yang dirahmati Allah!

Adalah diriku yang lemah dan dhaif dihadapan Allah s.w.t. ini ingin berpesan kepada dirinya dan kepada semua sahabat dan saudara yang dikasihinya supaya bertawakal lah kepada Allah s.w.t.. Tawakal lah kamu pada setiap pekerjaan yang dilakukan oleh kamu semua didalam dunia ini. Sesungguhnya didunia ini kepada Allah s.w.t. sahajalah yang patut kita bertawakal diatas semua pekerjaan. Allah s.w.t. telah berfirman dengan FirmanNya :

وتوكل على الحي الذي لا يموت

Maksudnya : Dan bertawakallah kamu kepada Allah Yang Hidup (kekal) yang tidak mati.

Telah kita ketahui bahawa setiap sesuatu itu berlaku diatas kekuasaan Allah s.w.t. jadi setiap pekerjaan itu didalam pengetahuan ilmuNya sama ada yang telah berlaku atau pun yang akan berlaku. Maka kita sebagai seorang hamba menjadi satu kewajipan untuk menyerahkan urusan kita kepada Allah s.w.t. kerana kita telah meyakini tentang kekuasaanNya. Sahabatku ! sesungguhnya apabila kita menuntut ilmu kerana Allah s.w.t. maka kepadaNya jugalah kita patut menyerahkan urusan kita dan bukannya menyerahkan urusan kita kepada usaha yang kita lakukan. Allah s.w.t. juga telah berfirman :

وعلى الله فتوكلوآ إن كنتم مؤمنين

Maksudnya : Dan hanya kepada Allah hendaklah kamu bertawakal jika kamu benar-benar orang beriman.

Oleh itu, marilah kita menyerahkan segala urusan kita kepada Allah s.w.t. sahaja. Ya Allah! Sesungguhnya kami ini telah menzalimiMu dengan menyerahkan urusan kami kepada usaha kami sahaja. Ya Tuhan Maha Pengasih! Janganlah engkau meletakan kemurkaanMu diatas kesalahan yang kami lakukan terhadapMu. Ampunilah diri kami Ya Allah! Sesungguhnya Engkaulah tempat kami berserah dan kepada Engkau jua kami memohon keampunan. Amiin.

Wahai sahabatku!

Sesungguhnya inilah sahaja pesanan dan nasihat yang mampu aku sampaikan kepadamu. Walaupun mungkin masih terdapat banyak perkara yang tidak aku sebut didalam kamu menuntut ilmu ini, tetapi jika dirimu memahami dan beramal dengan apa yang ku perkatakan ini maka ia telah cukup bagi dirimu yang menuntut ilmu kerana mencari keredhaan Allah s.w.t.. Aku memohon maghfirah daripada Allah s.w.t. jika apa yang aku perkatakan ini telah menyalahi HaqNya dan aku bertahmid kepadaNya diatas segala kebaikan yang aku perkatakan ini kerana semuanya datang daripada Allah s.w.t. yang hanya menyandarkannya kepada diri hambaNya yang lemah lagi dhaif ini.

Ya Allah Ya Tuhanku! Kuatkanlah kami ketika kami lemah, tetapkanlah hati dan diri kami ketika kami goyah, tabahkanlah kami dengan ujian yang kami redah dan himpunkanlah kami besama-sama kekasihMu, pejuang-pejuangMu, dan bersama-sama orang yang diredhai olehMu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Agung, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Mematikan dan Maha Menghidupkan lagi Maha Menghimpunkan. Amiin Ya Rabbal ‘alamin.




والله أعلم

Jumaat, 12 Mac 2010

Fikrah mahasiswa dalam mendepani isu



Bersyukur kehadrat Allah kerana kita masih lagi ditemukan dalam suatu ruangan maya. Sudah lama rasanya ana tidak menulis, mungkin kerana komitmen persatuan serta memenuhi peranan dalam setiap program yang sentiasa rancak dijalankan.


Saban hari, kita mendengar pelbagai isu yang membicarakan mengenai mahasiswa. Dalam article kali ini ana ingin berkongsi bersama sahabat-sahabat mengenai beberapa panduan dan kaedah dalam mendepani isu-isu yang dibangkitkan. Antaranya adalah...


Berfikir secara terbuka


Pemikiran yang baik perlu dibina dikalangan mahasiswa, Lebih-lebih lagi apabila menyentuh isu-isu yang berkaitan kehidupan. Sebagai mahasiswa kita perlu berlapang dada serta mengkaji dengan teliti setiap lontaran idea dan pandangan samada ianya membina diri mahupun sebaliknya. Sikap sesetengah mahasiswa yang mudah melatah apabila disergah serta panik dalam sesuatu isu menunjukkan kelemahan potensi diri dalam menghadapi masalah. Bukan lagi masanya mahasiswa ini dikongkong dengan perkara-perkara yang sedap didengar mahupun dipuji tanpa henti, hakikatnya perlu kepada sesuatu momentum berbentuk teguran dan nasihat yang menyentuh isu kehidupan mahasiswa. Sekiranya perubahan ini dilaksana maka corak kehidupan yang baik serta pemikiran yang matang akan terbentuk dikalangan mahasiswa. Ia juga membawa maksud bahawa golongan pressure group ini sudah tidak lagi jumud dan terikat dengan sebarang pandangan yang konservatif semata-mata dan mempunyai kesediaan yang tinggi untuk berubah ke arah yang lebih baik.


Tidak bersifat ego


Kita perlu mengkaji secara lumat isu yang ingin dibahaskan, adakah ianya berbentuk fakta mahupun fatwa ataupun sekadar pendapat peribadi. Sekiranya ia berkaitan pandangan peribadi mahupun pandangan sesebuah organisasi maka ia dikira bebas berfikir selagi tidak melanggar batasan syara’. Malangnya keegoan yang tinggi ditambah darah panas golongan muda menyebabkan mahasiswa hilang pertimbangan dalam bertindak. Lebih-lebih lagi apabila menerima pandangan berbentuk teguran mahupun nasihat, mahasiswa kini mudah tersentak lantas membalas serangan tanpa berfikir panjang. Diantara dua pendapat yang dikeluarkan oleh dua pihak, kemungkinan kedua-duanya betul dan tidak salah. Masalah akan timbul apabila ada satu pihak merasa paling betul dan terus menyalahkan pihak lain atas dasar emosi, tanpa landasan yang kukuh. Didalam hadis yang diriwayatkan dalam sahih muslim jelas menyatakan “Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sebesar zarah sekali pun sifat ego (takabbur)” Sikap begitu taksub kepada sesuatu pandangan dan merasa paling berjaya dalam mempertahankan pendapat akan membuka ruang kepada perpecahan lantas akan ada pihak yang bertepuk tangan.



Hormat menghormati


Sifat hormat menghormati dan bertolak ansur dalam menerima pandangan perlu dipupuk dalam jiwa mahasiswa. Keterbukaan minda perlu dibina apabila sesuatu isu yang dibahaskan itu tidak menepati kehendaknya mahupun bercanggah dari sudut kefahamannya. Syeikh Asyraf Hamdy al-Hasani merupakan imam 2 dimasjid al-Azhar apabila ditanya mengenai perbezaan pendapat dikalangan ulama’ dalam sesetengah masalah, maka dijawab oleh beliau bahawa pebezaan pendapat ini telah lama berlaku sejak zaman sahabat lagi. Mereka sentiasa meraikan kesemua pendapat malah membahasnya dengan baik. Akan tetapi beliau menyatakan bahawa sesetengah perbezaan pendapat yang berlaku kini tidak lagi dihormati malah dibahas tanpa adanya adab dan akhlak. Jelas disini kata-kata tersebut kepada kita bahawa sesetengah perselisihan pendapat yang berlaku kini lebih cenderung kepada tuduh menuduh,serta fitnah menfitnah. Seolah-olah kita sudah tiada kewarasan dalam menilai dan berfikir. Lebih parah lagi ada dikalangan mahasiswa bertindak sehingga peringkat desak mendesak dan ugut mengugut.


Kembali kepada fitrah


Berbeza pendapat adalah sesuatu yang lazim terjadi. Namun tidak ramai di kalangan umat Islam yang mampu berinteraksi dengannya secara cemerlang. Allah SWT berfirman di surah 11 ayat 118-119 (maksudnya):


“Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.”


“Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka tidak berselisihan) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menciptakan manusia.”

Daripada 2 ayat di atas dapat difahami bahawa, Allah SWT berkuasa untuk menjadikan manusia semuanya bersepakat di atas satu agama dan satu pendapat. Akan tetapi Allah sengaja tidak berbuat sedemikian. Maka kerana itulah manusia sentiasa berbeza pendapat. Dalam ertikata yang lain, menjadi fitrah manusia untuk saling berbeza pendapat antara satu sama lain. Usaha sebahagian orang yang cuba menyatukan umat Islam di atas satu pendapat adalah sia-sia kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia dan kehendak Allah. Sebaliknya, usaha sebahagian lain yang cuba mengajak umat Islam ke arah bersatu di atas kepelbagaian pendapat, mereka itulah yang berada di atas jalan yang benar dan akan mendapat rahmat Allah SWT.


Tidak mengejar nama


Akan tetapi terdapat sesetengah mahasiswa lebih mengejar nama dan populariti dalam mendepani sesuatu isu. Perkara ini perlu dihakis dikalangan mahasiswa, kerana apa yang lebih penting bagi kita adalah penerimaan secara positif keatas setiap isu yang ditimbulkan. Sekiranya isu yang dibangkitkan berbentuk teguran buat kita maka terima dengan hati yang terbuka, dan sekiranya isu tersebut bercanggah dengan penilaian diri kita kemungkinan ia berlaku kepada orang lain. Maka disini kita telah berjaya mencapai tahap kematangan berfikir dan tidak jumud dalam mendepani realiti semasa. Ingat lah bahawa segala yang kita perkatakan ini akan dinilai dan diadili oleh Allah S.W.T. kerana dia lah yang maha mengetahui setiap sesuatu. Maka perlunya amanah dalam setiap urusan dan jangan sesekali menyembunyikan kebenaran.


Penutup


Satu perkara perlu di ingat, ulama’ ada mengatakan “jangan melihat siapa yang bercakap tetapi hayati terlebih dahulu apa yang ingin disampaikan”. Sekiranya dilihat kepada siapa yang bercakap maka akan ada sahaja cacat dan celanya kerana manusia itu tidak sempurna melainkan manusia yang disempurnakan oleh Allah akan kejadiannya. Maka dengarlah apa yang ingin disampaikan kerana mungkin disitu ada pengajaran yang berguna. Kutiplah mutiara yang baik dan tinggalkan duri kecurigaan. Marilah bersatu pada titik pertemuan dan berlapang dadalah pada perbezaan pendapat. Bukan mudah untuk berlapang dada, tetapi adalah sesuatu yang nikmat apabila kita mampu melakukannya.


Salam juang dari Hamra’ Kayangan….